Aku suka makan cendol. Orang utara sebut cendoi. Aku tak pasti cendol ni sebenarnya makan yang berasal dari negeri mana. Daripada pemerhatian aku perniagaan cendol banyak dipelopori oleh orang mamak. Orang melayu pon ada jugak. Antara peniaga cendol melayu yang popular adalah Cendol Leman Dawi di Jalan Sg Gadut, Seremban dan Cendol Bakar di Kuala Selangor. Rasanya ramai dah yang tau tentang Cendol Leman Dawi ni sebab dah pernah masuk TV dulu. Istimewanya makan kat Cendol Leman Dawi ni cendolnya boleh refill dan ianya free refill. Aku pernah cuba dah cendol ni tapi dah sangat lama dulu. Tak pasti sekarang ni Cendol Leman Dawi masih menyediakan cendol free refill ataupon tidak. Cendol Bakar pulak aku hanya pernah dengar nama. Teruja jugak aku nak pi makan. Tapi lepas aku google maklumat tentang Cendol Bakar ni rupa-rupanya nama pemilik cendol ni ialah En. Bakar dan ada pulak yang kata resepi rahsia Cendol Bakar ni gula melaka yang digunakan dibakar terlebih dahulu. Kebenarannya masih aku belum ketahui sebab aku sendiri belum pernah merasa dan bersembang sendiri dengan taukeh kedai ni.Walaupon Cendol Bakar ni bukanlah dibakar dengan api tapi ianya tidak menghilangkan keterujaan aku untuk makan cendol di sana kerana Cendol Bakar di Kuala Selangor ini ada drive thru. Nak la jugak aku tengok macam mana rupanya kedai cendol yang ada drive thru tu. InsyaAllah suatu masa aku mesti cuba makan cendol disana.
Sekarang resepi cendol sudah semakin canggih dan macam-macam menu cendol dah diupgrade. Ada menu cendol special siap letak ais krim lagi. Kalau yang biasa kita dengar tu contohnya macam cendol jagung, cendol pulut, cendol tapai dan cendol durian. Ada jugak yang tambahkan biji selasih ataupon buah kabung. Paling terbaru yang aku pernah dengar adalah cendol ubi keladi.
Sebagai penggemar cendol sudah pasti aku sukakan cendol yang original. Cendol original inilah yang selalu dijual oleh kebanyakan orang mamak dengan menaiki motosikal roda tiga, basikal roda tiga, lori ataupon di gerai-gerai. Penangan santan original dengan kepekatan gula merah dan kisaran ketul ais dan sedikit kacang merah memang membuatkan aku berada di awang-awangan. Rasanya yang lemak dan manisnya yang melekat sudah pastinya membuatkan aku untuk tidak akan lupa akan kesedapanya begitu sahaja. Jarang ada menu cendol special di gerai mamak. Kalau nak kata special tapi taklah special mana, adalah boleh tambah pulut ataupon mintak lebihkan kacang merah.
Tahukah anda cendol yang hebat tidak perlukan persembahan yang menarik. Mangkuk yang cantik dan tempat duduk yang selesa tidak menjanjikan cendol yang sedap. Santan yang digunakan juga pastilah original dan pekat, tidak boleh santan kotak jauh sekali santan bancuh segera, tapi aku pernah dengar orang cakap cara nak buat santan cendol ni memang kena campurkan dengan sedikit santan segera kotak. Kesahihannya aku tak pasti dan sudah tentulah ianya terus menjadi rahsia resepi cendol mamak yang sentiasa ada 'kick'.
Ada orang suka cendol yang manis dan ada yang suka yang manis sedang-sedang saja. Cendol yang hebat mestilah manis. Manisnya mestilah terasa baru cukup lawan dengan santannya yang cukup lemak. Cendol mamak tidak menggunakan mangkuk yang besar. Itulah rahsianya. Kalau guna mangkuk yang besar sudah tentulah 'tune'nya tidak kena nanti dan rasa lemak santan itu nanti akan membuatkan kita muak sebab terlalu banyak. Cendol original menunya tidak banyak. Paling biasa adalah tambahan pulut ataupon boleh mintak lebihlan kacang merah.
Rata-rata penjual cendol menjual cendol dengan harga RM2-RM3 semangkuk disekitar Pulau Pinang ni. Pada aku harganya OK dan aku memang boleh layan dalam dua ke tiga mangkuk sekaligus. Kalau aku balik kampung di Seberang Jaya sudah semestinya aku pekena cendol ni, bak kata orang kalau tak pekena tak sah...
![]() |
| Kalau soal rasa orang buta pon tak boleh nak tipu. |
![]() |
| Salah satu lori cendol febret aku. Lori ni selalu parking petang-petang kat tepi jalan di Pekan Permatang Pauh. |

